Thursday, January 1, 2009

KEBENARAN MERANCANG



1. Apakah Kebenaran Merancang?

  • Merupakan kebenaran secara bertulis daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT).
  • Kebenaran merancang adalah kelulusan yang diperlukan setelah kelulusan tukar syarat tanah diperolehi, yang mana ia adalah sebelum proses pelan bangunan diteruskan.
  • Tiada had keluasan tanah yang dikecualikan daripada kebenaran merancang, walaupun tanah tersebut kurang daripada 1 ekar.

2. Maksud Kebenaran Merancang Mengikut Akta 172

  • Subseksyen 2(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) Mentafsirkan kebenaran merancang sebagai kebenaran yang diberikan, dengan atau tanpa syarat untuk menjalankan pemajuan.
  • Subseksyen 19(1) memperuntukkan tiada seorang pun, selain pihak berkuasa tempatan (PBT), boleh memulakan, mengusahakan, atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan jika kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah subseksyen 24(3).
  • Pada amnya " kebenaran merancang " adalah satu prosedur yang mana pemohon perlu mengemukakan permohonan kepada PBPT untuk mendapat kelulusan sebelum memulakan sebarang pemajuan di atas
    tanah atau bangunan sepertimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 21A [Laporan Cadangan Pemajuan ( LCP)] dan seksyen 21B [Pelan Susunatur]

3. Siapa Yang Memberikan Kebenaran Merancang?

  • Sesuatu kebenaran merancang diberi oleh PBPT bagi kawasan berkenaan
  • Bagi kawasan dalam sesuatu majlis Perbandaran / majlis daerah / majlis tempatan, kebenaran merancang dikeluarkan oleh PBT berkenaan yang merupakan PBPT kawasan berkenaan, di bawah subseksyen 5(1).
  • Bagi kawasan di luar sesebuah PBT, kebenaran merancang dikendalikan olehJabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri yang merupakan PBPT bagi kawasan di luar PBT, di bawah subseksyen 5(2).
  • Keputusan oleh PBT lazimnya dibuat oleh mesyuarat penuh majlis perbandaran atau daerah berkenaan.

4. Definisi ' Pembangunan ' atau ' Pemajuan '

Subsyeksyen 2(1) Akta 172, mendefinisikan ' pembangunan ' atau ' pemajuan ' meliputi aktiviti-aktiviti berikut :

  • Menjalankan kerja-kerja bangunan yang meliputi meruntuh, mendiri, mendirikan semula atau meluaskan sesuatu bangunan atau sebahagiannya.
  • Menjalankan kerja-kerja kejuruteraan seperti membentuk dan meratakan tanah, penjajaran jalan keluar masuk, penjajaran kabel dan saluran bekalan air.
  • Menjalankan kerja-kerja perlombongan dan perindustrian.
  • Membuat sesuatu perubahan matan dalam penggunaan tanah atau bangunan atau mana-mana bahagian daripadanya.
  • Memecah sempadan dan mencantum tanah.

5. Ulasan Dan Pandangan Sebelum Kebenaran Merancang

  • Semua permohonan akan dirujuk kepada Jabatan Teknikal seperti :
    • Pejabat Tanah Daerah (PTD) / Pejabat Tanah
    • dan Galian Negeri
    • Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri.
    • Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
    • Jabatan Kerja Raya (JKR)
    • Tenaga Nasional Berhad (TNB)
    • Jabatan Kesihatan (JK)
    • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
    • Telekom Malaysia Berhad (TM)
    • Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP)
    • Pihak Berkuasa Air Negeri (JBA)
    • Jabatan lain yang berkaitan.
  • Segala ulasan dan pandangan daripada agensi teknikal akan diambilkira untuk memastikan cadangan pemajuan yang dibenarkan nanti adalah bersesuaian dengan alam sekeliling dari segi keselesaan, keselamatan dan pemeliharaan.
  • Dalam kes-kes tertentu, pemohon dikehendaki menyediakan maklumat tambahan sebelum keputusan dikeluarkan dan kemungkinan pemohon dikehendaki membuat pengubahsuaian terhadap permohonan kebenaran merancang.

6. Perkara-perkara Penting Dalam Mempertimbangkan Permohonan Kebenaran Merancang


Subsyeksyen 22( 2 ) Akta 172 telah menjelaskan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh PBPT sebelum menimbang atau membuat keputusan ke atas sesuatu permohonan kebenaran merancang. Antaranya adalah termasuk :
a. Peruntukan-peruntukan rancangan pemajuan yang telah diwartakan atau dalam penyediaan.
b. Arahan-arahan yang diberikan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri ( jika ada ).
c. Peruntukan-peruntukan Akta Perkhidmatan Pembentungan 1993.
d. Laporan Cadangan Pemajuan.
e. Bantahan-bantahan Pemilik Tanah Berjiran yang dibuat di bawah Seksyen 21.
f. Permohonan yang perlu mendapat nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara ( MPFN )
g. Ulasan-ulasan daripada jabatan-jabatan teknikal yang berkaitan.

7. Khidmat Profesional Perancang Bandar

  • Seseorang pemohon untuk kebenaran merancang boleh menggunakan perkhidmatan profesional perancang bandar dari sektor swasta.
  • Perunding perancang bandar akan memberi nasihat profesional berhubung sesuatu proses dan seterusnya menyediakan dokumen yang diperlukan dalam permohonan sesuatu kebenaran merancang.
  • Proses kelulusan kebenaran merancang ini memerlukan laporan, dokumen dan penyediaan pelan-pelan yang tertentu dan ini dapat diuruskan oleh pihak perunding perancang bandar.

9. Aktiviti Yang Tidak Perlu Kebenaran Merancang Di Bawah Subseksen 19( 2 )

  • Menjalankan kerja menyelenggara, pembaikan atau perubahan lain hanya kepada bahagian dalaman sesebuah bangunan.
  • Kerja-kerja memasang, memeriksa, memperbaiki atau memperbaharui mana-mana parit, pembentung, sesalur, paip, kabel atau lain-lain perkara yang sama maksudnya.
  • Kerja-kerja memperbaiki jalan, termasuk memecah mana-mana jalan atau tanah bagi maksud yang sama.
  • Kerja-kerja penggalian telaga atau perigi bagi tujuan kegunaan pertanian.
  • Menggunakan tanah atau bangunan dalam tempoh yang kurang daripada sebulan bagi tujuan :
    • Panggung wayang, panggung atau pertunjukan sementara atau bergerak,
    • taman hiburan, pestaria atau pameran sementara,
    • istiadat atau kebesaran sementara yang bercorak agama, sosial atau lain dan
    • pembinaan atau mendirikan bangunan-bangunan sementara untuk menampung pekerja-pekerja yang terlibat dalam pembinaan.
  • Menggunakan mana-mana tanah atau bangunan dalam perkarangan sesuatu kediaman bagi tujuan menikmati kediaman tersebut.
  • Membuat apa-apa perubahan secara material kepada penggunaan tanah atau bangunan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) sebagai suatu perubahan matan yang tidak memerlukan kebenaran merancang.
  • Perubahan material bagi gunatanah / bangunan itu juga tidak melibatkan perubahan dari segi ciri-ciri utama fizikal, ekonomi, persekitaran, sosial, bilangan rupa, taburan penduduk, perhubungan, sistem pengangkutan, lalulintas dan lain-lain seperti di perenggan 7(3)(a)-(f)
  • Contoh perubahan material ke atas penggunaan tanah yang boleh dikecualikan daripada kebenaran merancang :
    • perubahan material ke atas penggunaan tanahyang tidak menjejaskan perkara-perkara yang dinyatakan bawah perenggan 7(3)(a)-(f),
    • penempatan penduduk secara sementara akibat daripada bencana alam,
    • penempatan / tapak transit setinggan yang didirikan secara sementara bagi penduduk yang terlibat dalam penempatan semula sementara menunggu penempatan baru,
    • tapak bagi mendirikan khemah untuk tujuan pesta atau keraian, pestaria, pemeran sementara, panggung wayang, panggung atau pertunjukan sementara / bergerak yang diadakan untuk tujuan sementara sahaja,
    • kediaman penempatan sementara yang didirikan untuk tujuan keselamatan oleh pihak Polis atau Tentera, dan
    • kediaman / penempatan yang didirikan untuk tujuan keselamatan dalam negeri seperti untuk penempatan bagi menghantar pulang pendatang asing tanpa izin.
  • Contoh perubahan material ke atas penggunaan bangunan yang boleh dikecualikan daripada kebenaran merancang adalah :
    • bangunan kediaman yang dijadikam sebagai 'home office ' yang tidak melibatkan guna tenaga kerja, penyimpanan barang, pemunggahan dan pengangkutan barang, dan
    • bangunan kediaman yang digunakan untuk tujuan'cottage industry ' yang hanya melibatkan ahli keluarga dan tidak menjejaskan sistem pengangkutan dan lalulintas serta bunyi bising di kawasan kediaman berkenaan.

10. Tafsiran Kebenaran Merancang

Merujuk kepada subseksyen 2(1) Akta 172, kebenaran merancang ditakrifkan sebagai 'kebenaran yang diberikan, dengan atau tanpa syarat, untuk menjalankan pemajuan'. "Menjalankan pemajuan" disini bermaksud, sebarang tindakan pembangunan termasuk kerja-kerja yang memerlukan kelulusan di bawah lain-lain Akta.

11. Larangan Mengenai Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang
Keperluan bagi mendapat Kebenaran Merancang adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 19(1), Akta 172 iaitu:

"Tiada seorang pun, lain daripada pihak berkuasa tempatan, boleh memula, mengusaha atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan ebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah iberikan kepadanya di bawah Seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah Seksyen 24(3)".

Semua pemajuan hendaklah memperolehi kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. ika pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang atau pemajuan dijalankan berlawanan dengan kebenaran merancang, pemunya boleh disabitkan kesalahan di bawah Sekyen 27 dan Seksyen 28 Akta 172. Hukuman yang boleh dikenakan adalah mengikut Subseksyen 26(1), iaitu denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

12. Kebenaran Merancang Yang Perlu Dirujuk Kepada Jawatankuasa Perancang Negeri Seterusnya Kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Untuk Mendapat Nasihat Mengikut Peruntukan Subseksyen 22(2A), Akta 172

  1. Pembangunan perbandaran baru bagi penduduk yang melebihi sepuluh ribu (10,000 orang) atau meliputi suatu kawasan yang melebihi seratus (100 hektar) hektar atau kedua-duanya.
  2. Sesuatu pemajuan bagi pembinaan apa-apa infrastuktur atau kemudahan utama , termasuk :
    a) Kerja-kerja infrastruktur negara seperti lapangan terbang, pelabuhan laut, landasan keretapi dan lebuhraya, dan
    b) Kerja-kerja kemudahan negara seperti pembinaan empangan, stesen janakuasa utama dan tapak pembuangan sisa toksid.
  3. Sesuatu pemajuan yang melibatkan kawasan di puncak atau lereng bukit, dalam kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan sensitif alam sekitar dalam sesuatu rancangan pemajuan.

Pihak Berkuasa Perancang Tempatan akan merujuk kepada Jawatankuasa Perancang Negeri dan seterusnya Jawatankuasa perlu merujuk kepada Majlis Perancang Fizikal Negara untuk mendapatkan nasihat dan pandangan sebelum membuat keputusan terhadap sesuatu permohonan yang dikemukakan.

13. Apakah Kebenaran Merancang?


Merupakan kebenaran secara bertulis daripada
pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT).

  • Kebenaran merancang adalah kelulusan yang diperlukan setelah kelulusan tukar syarat tanah diperolehi, yang mana ia adalah sebelum proses pelan bangunan diteruskan.
  • Tiada had keluasan tanah yang dikecualikan daripada kebenaran merancang, walaupun tanah tersebut kurang daripada 1 ekar.

14. Apa Kaitan Kebenaran Merancang Dengan Pembangunan?

Kebenaran merancang merupakan diantara proses yang perlu dilalui dalam mendapatkan kelulusan perancangan untuk sesuatu projek pembangunan.

Proses tersebut boleh dilihat seperti di bawah:

  • Kelulusan tukar syarat tanah
  • Kelulusan pelan susunatur (kebenaran merancang)
  • Kelulusan pelan pinta ukur (pre-comp plan)
  • Kelulusan pelan bangunan

15. Apa Yang Boleh Dilakukan Setelah Kebenaran Merancang Diperolehi?

  • Secara amnya pembangunan boleh dimulakan setelah kebenaran merancang diperolehi.
  • Kebenaran merancang yang telah diluluskan dalam konteks pelan susun atur ialah pelan yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa perancang tempatan.
  • Pelan susun atur ini boleh digunakan secara rasmi pihak seterusnya iaitu Jurukur dan Jurubina (Arkitek).
  • Pelan tapak ini diukur dengan memasukkan jarak yang tepat serta bearing oleh jurukur bagi memastikan ianya bertepatan dengan apa yang terdapat pada pelan dan tapak sebenar (pelan pinta ukur).
  • Pelan pinta ukur atau pelan 'pre-comp' akan digunakan oleh arkitek untuk kerja-kerja mereka bentuk bangunan didalam pelan susunatur tersebut (pelan bangunan).
  • Pelan bangunan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan beserta dengan pelan-pelan lain (contoh: pelan-pelan kejuruteraan) yang diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan.
  • Kerja-kerja tanah boleh dimulakan dengan memperolehi kelulusan proses-proses tersebut.

16. Apa Yang Boleh Dilakukan Oleh Pemohon Jika Ia Tidak Puas Hati Dengan Keputusan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan?

  • Pemohon yang tidak puas hati dengan keputusan pihak berkuasa perancang tempatan yang enggan beri kebenaran merancang atau kepada syarat-syarat dalam kebenaran merancang itu boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan.
  • Lembaga rayuan akan menyemak keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa perancang tempatan itu dengan mendengar dari kedua-dua pihak perayu dan pihak berkuasa perancang tempatan.
  • Lembaga Rayuan seterusnya akan memutuskan samada mengekal, membatal atau mengubahsuai kebenaran merancang itu.

17. Tahukah Anda Kebenaran Merancang Yang Diluluskan, Boleh Ditarik Balik Oleh Pihak Bekuasa Perancang Tempatan?

  • Sesuatu kebenaran merancang yang diluluskan oleh pihak berkuasa perancang tempatan boleh ditarik balik sekiranya terdapat kepentingan awam yang dibenarkan mengatasinya.
  • Perintah menarik semula kebenaran merancang perlu mendapat persetujuan dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerajaan Negeri.
  • Pihak berkuasa perancang tempatan juga berhak untuk merobohkan apa-apa jua bentuk bangunan yang didirikan bagi maksud menarik balik kebenaran merancang [seksyen 25 (4) Akta 172].


18. Adakah Pemohon Boleh Memohon Kos Pampasan Sekiranya Terdapat Kes Penarik Balikan Kebenaran Merancang?

  • Seksyen 25 (3) (5) (6) Akta 172 memperuntukkan kos pampasan balik terhadap bangunan yang telah memperolehi kebenaran merancang.
  • Sekiranya langkah membatalkan kebenaran merancang telah menyebabkan kerugian pada ianya boleh dituntut semula oleh pemohon dengan kos yang memadai.


19. TAHUKAH ANDA? Anda Boleh Didakwa Sekiranya Melanggar Kebenaran Merancang?

  • Seseorang yang telah mendapat kebenaran merancang hendaklah sentiasa mempastikan aktiviti pemajuan yang dijalankan adalah mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh kebenaran merancang itu. Sebarang pelanggaran terhadap syarat itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 172.
  • Penyataan mengenai kesalahan-kesalahan ada dinyatakan dibawah Seksyen 26 (1) Akta 172.
  • Seseorang didapati bersalah jika :
    • Memajukan atau membangunkan tanah yang berlainan dengan jenis kegunaan zon tanah yang diwartakan oleh Rancangan Tempatan atau mengubahsuai kelulusan kebanaran merancang.
    • Pemilik tanah yang didapati bersalahan di bawah Seksyen 26 (1) Akta 172, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM 500,000.00 dan tambahan RM 5,000.00 bagi setiap hari kesalahan yang dilakukan atau penjara tidak lebih 2 tahun atau keduanya

Struktur Perancangan Bandar Di Malaysia

PENGENALAN

Sebelum Akta Perancang Bandar dan Desa (PBD) 1976, kuasa dan perhubungan antara pihak berkuasa-pihak berkuasa berkenaan dengan pemajuan dan penggunaan tanah tidak dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang semasa. Khususnya perhubungan di antara kerajaan-kerajaan negeri dengan pihak berkuasa-pihak berkuasa tempatan begitu rumit sekali pada awal tahun 1960an terutamanya di kawasan-kawasan pihak berkuasa tempatan yang diperintah oleh parti politik yang berlainan daripada parti politik yang menubuhkan kerajaan negeri. Undang-undang kerajaan tempatan pada masa itu, iaitu Enakmen Lembaga Bandaran BAB 137 memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan Pelan Bandar Am. Pelan ini dikehendaki mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) tetapi undang-undang tersebut tidak memaksa pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan atau memohon kelulusan PBN kerana perancang bandar di bawah BAB 137 ialah suatu aktiviti opsyenal. Maka walaupun Perlembagaan menetapkan bahawa perkara-perkara berkenaan tanah adalah dalam bidangkuasa Kerajaan Negeri (iaitu PBN) tetapi tiada peruntukan dalam BAB 137 untuk PBN mengarahkan pihak berkuasa tempatan mematuhi dasar negeri.

Bahagian II (Dasar dan Pentadbiran) Akta PBD 1976 membetulkan kekurangan ini dengan menetapkan tugas dan kuasa setiap pihak berkuasa yang ada urusan terhadap hal ehwal tanah.


SISTEM KERAJAAN 3-PERINGKAT

Sistem Kerajaan di Malaysia merupakan sistem federalisme mengandungi 3 peringkat, iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ditubuhkan melalui proses pilihanraya umum. Kerajaan Tempatan selepas Perang Dunia Kedua juga ditubuhkan secara demokratik tetapi oleh kerana kekecohan yang berlaku pada tahun 1960an, Kerajaan Persekutuan telah mansuhkan sistem pilihanraya untuk Kerajaan Tempatan. Kini Kerajaan Tempatan ditubuhkan melalui perlantikan Yang DiPertua dan Ahli-Ahli Majlis oleh Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Setiap peringkat kerajaan mempunyai tanggungjawab dan bidangkuasa masing-masing. Kerajaan Persekutuan misalnya bertanggungjawab ke atas perkara-perkara berkenaan dengan keselamatan negara, dasar luar negeri, cukai pendapatan, pendidikan dan lain-lain lagi. Tiga tanggungjawab utama Kerajaan Negeri pula ialah perkara-perkara berkenaan dengan tanah, ugama dan kerajaan tempatan. Kesemua tanggungjawab ini adalah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.


Top

PIHAK BERKUASA NEGERI

Di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, perkara-perkara berkenaan dengan tanah disenaraikan dalam Senarai Negeri. Ini bermakna kerajaan negeri atau lebih tetap lagi, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mempunyai kuasa terhadap segala urusan berkenaan dengan tanah di negeri masing-masing termasuk pemilikan semua tanah yang belum diberi hakmilik, pemberian hakmilik, urusan jual-beli, pengambilan tanah untuk kegunaan awam dan sumber-sumber tanah. Kerajaan atau jabatan persekutuan yang ingin melaksanakan sebarang kawalan terhadap kegunaan tanah perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu. Misalnya, Peguam Negara telah menasihati Jabatan Alam Sekitar bahawa ia tidak boleh laksanakan kehendak untuk diadakan kajian impak alam sekitar (EIA) terhadap pembangunan di tanah bukit kerana perkara ini menyentuh bidangkuasa kerajaan negeri.

Perkara berkenaan dengan perancangan bandar pula adalah dalam Senarai Bersama, Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhak menjalankan aktiviti perancangan bandar. Walau bagaimanapun, oleh kerana perancangan bandar semestinya dijalankan di atas tanah, maka segala usaha kerajaan persekutuan untuk merancang hendaklah mendapat restu kerajaan negeri. Misalnya, perancangan dan pembangunan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah disahkan dengan suatu perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor [http://www.jaring.my/.../putra/].

Di bawah Akta PBD 1976, PBN merupakan pihak berkuasa yang tertinggi sekali dalam hal ehwal perancangan bandar di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negeri masing-masing. S. 3 Akta ini memperuntukkan bahawa:

Kelulusan sesuatu draf rancangan struktur oleh JPN juga perlu mendapat persetujuan PBN (s. 10(6)). Jika JPN tidak membuat sebarang keputusan enam bulan selepas sesuatu draf rancangan struktur dikemukakan kepadanya, PBPT boleh rujuk draf rancangan struktur terus kepada PBN untuk pertimbangan (s. 10(5) selepas Pindaan 1995).

PBN juga memegang kuasa untuk menentukan bila, bahagian apa dan kawasan mana yang akan menerimapakai Akta PBD 1976 (lihat perbincangan lanjut berkenaan dengan PBPT di bawah).

Mengikut perundangan Malaysia, PBN ialah "ruler-in-council". Maksudnya ialah kuasa diletak di tangan Yang DiPertua atau Sultan atau Raja Negeri tetapi kuasa ini hanya diguna dengan perakuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). MMKN pula dipengerusikan oleh Ketua Menteri atau Menteri Besar yang juga pengerusi JPN.


Top

JAWATANKUASA PERANCANG NEGERI


Apabila Akta PBD 1976 diterimapakai di sesebuah negeri, suatu Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) hendaklah ditubuhkan (s. 4(1)). JPN mengandungi anggota-anggota berikut:

  1. Pengerusi (Mentri Besar atau Ketua Menteri negeri tertentu);
  2. Timbalan Pengerusi (seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, EXCO yang dilantik oleh PBN);
  3. Setiausaha Kerajaan Negeri;
  4. Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri (yang menjadi Setiausaha JPN);
  5. Pengarah Tanah dan Galian Negeri;
  6. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri atau pegawai yang bertanggungjawab jika tiada jawatan pengarah negeri;
  7. Pengarah Kerja Raya Negeri;
  8. Penasihat Undang-Undang Negeri;
  9. Pegawai Kewangan Negeri;
  10. Pegawai Kemajuan Negeri;
  11. Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri;
  12. tidak lebih dari 4 ahli lain yang dilantik oleh PBN.

Ahli-ahli (ix) hingga (xi) telah ditambahkan melalui Akta Perancang Bandar dan Desa (Pindaan) 1995. Sekurang-kurangnya 2 Ahli JPN adalah Ahli EXCO, iaitu ahli politik yang telah bertanding dan menang dalam pilihanraya umum. Sembilan Ahli JPN adalah pegawai kerajaan. Empat ahli lain boleh dilantik atas budibicara PBN. Jelaslah bahawa keanggotaan JPN beratsebelah kepada pegawai-pegawai perkhidmatan awam peringkat negeri. Akta PBD 1976 tidak menyatakan bagaimana JPN patut bertindak atau membuat keputusan. Andaiannya ialah setiap ahli mempunyai kuasa yang sama dan mengikut amalan biasa JPN akan membuat keputusan melalui konsensus atau secara mengundi. Sebagai perbandingan, Pengerusi Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta PBD 1976 mempunyai kuasa luarbiasa dan boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan pendapat ahli-ahli lain.

Bidang kuasa setiap JPN terhad kepada kawasan negeri masing-masing. Jelaslah wujudnya suatu kuasa berasingan untuk perancangan diperingkat negeri. Perhatikan bahawa cadangan asal dalam draf Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972 ialah penubuhan suatu Pihak Berkuasa Perancangan Negeri dengan Pengerusi yang tidak semestinya Menteri Besar atau Ketua Menteri.. Secara bandingan, kuasa perancangan di peringkat tempatan telah dikekalkan dengan pihak berkuasa tempatan (lihat perbincangan di bawah).


Tugas dan Kuasa JPN

Tugas-tugas JPN juga disenaraikan dalan Akta PBD 1976 (s. 4(3)), iaitu:

Selain daripada tugas-tugas di atas JPN juga mempunyai kuasa untuk:


Rancangan Pemajuan

Untuk memastikan bahawa PBPT mematuhi dasar kerajaan negeri bagi penggunaan tanah, JPN boleh :


Beberapa isu berkenaan dengan pentadbiran perancangan di peringkat negeri, khususnya pentadbiran JPN, perlu diberi perhatian:


Tugas Setiausaha JPN (Pengarah JPBD)

Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri diberi dua tugas utama dalam s. 4(8) Akta PBD 1976. Sebagai Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri beliau menjadi penasihat utama kepada JPN berkenaan dengan perkara-perkara berhubung dengan perancangan bandar dan desa. Sebagai Setiausaha JPN pula, beliau diberi tanggungjawab untuk menjalankan keputusan-keputusan dan melaksanakan dasar-dasar JPN.

Kedua-dua tugas itu adalah tambahan kepada tanggungjawab beliau sebagai Ahli JPN dengan kuasa untuk mengambil bahagian dalam perbincangan dan membuat keputusan.

Dalam menjalankan tugas-tugas itu Pengarah JPBD boleh menggunakan tenaga kewangan, manusia dan lain-lain tenaga jabatannya.

Selain daripada tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan melalui undang-undang Pengarah JPBD juga memberi khidmat nasihat perancangan kepada Kerajaan Negeri seperti menyediakan susunatur atau rekabentuk projek-projek khas. JPBD juga memberi khidmat nasihat kepada pihak berkuasa perancangan tempatan yang tidak mempunyai tenaga teknikal untuk meneliti permohonan untuk kelulusan perancangan seperti kelulusan pelan susunatur.


Top


PIHAK BERKUASA PERANCANG TEMPATAN

Akta PBD 1976 memperuntukkan bahawa taip-taip pihak berkuasa tempatan (kerajaan tempatan) hendaklah menjadi pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) bagi kawasan pihak berkuasa tempatan itu (s. 5(1)). Walaupun ini bermakna pihak berkuasa tempatan secara automatik menjadi PBPT, ada dua tindakan yang perlu diambil sebelum peruntukan ini berkuatkuasa. Pertama, Yang Di Pertua dan Ahli-Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan hendaklah dilantik terlebih dahulu oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengikut s. 10(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Kedua, PBN hendaklah menetapkan kawasan-kawasan PBPT yang akan menerima-pakai Akta PBD 1976. Dengan tindakan-tindakan ini, Yang Di Pertua (atau Datuk Bandar) bersama Ahli-Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan juga akan menjadi anggota pihak berkuasa perancang tempatan.

PBN boleh mengistiharkan mana-mana kawasan yang tidak menjadi sebahagian daripada kawasan mana-mana PBPT sebagai suatu kawasan pihak berkuasa perancang tempatan (s. 5(2)). Di kawasan-kawasan ini, PBN boleh melantik seorang atau beberapa orang sebagai PBPT (s. 5(3)). Kuasa ini telah digunakan di Johor Barat dengan perlantikan Pegawai-Pegawai Daerah berkenaan sebagai PBPT untuk kawasan di luar kawasan Majlis-Majlis Bandaran. Kuasa ini juga telah digunakan untuk melantik Datuk Zainuddin Mohamed merangkap Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia sebagai PBPT untuk Putrajaya (1995/96) yang masih belum dibangunkan (pada masa itu) dan belum mempunyai pihak berkuasa tempatan.

Dari segi undang-undang pihak berkuasa tempatan dan PBPT adalah dua badan atau pertubuhan yang berasingan walaupun ia biasa berfungsi dalam suatu jentera pentadbiran yang sama. Misalnya, pihak berkuasa tempatan apabila mengambil tindakan perancangan (seperti mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang) ia bertindak sebagai suatu PBPT bukan sebagai pihak berkuasa tempatan. Di sebaliknya PBPT tidak boleh bertindak sebagai pihak berkuasa tempatan (seperti mengutip cukai, memungut sampah, mengawal kesihatan bandar, dll). Biasanya, PBPT tidak mengambil gelaran yang berasingan tetapi mengguna nama pihak berkuasa tempatan. Contohnya, apabila seseorang memohon kebenaran merancang daripada PBPT Pulau Pinang ia sebenarnya berurus dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), iaitu nama pihak berkuasa tempatan untuk Pulau Pinang. Surat kelulusan kebenaran merancang juga disediakan di atas surat resmi MPPP (MPPP letterhead).


Tugas dan Kuasa PBPT

Akta PBD 1976 menetapkan dua tugas utama PBPT iaitu, perancangan dan penyebaran maklumat berkenaan dengan perancangan. Disamping itu, PBPT juga wajib menjalankan sebarang tugas yang diarahkan oleh PBN atau JPN. Secara terperinci s. 6(1) Akta PBD 1976 menyatakan bahawa PBPT hendaklah :

Kuasa perancangan dan penetapan penggunaan tanah oleh PBPT bukan kuasa yang muklak. Seperti dibincang dalam seksyen dahulu, Pihak Berkuasa Negeri adalah pihak berkuasa tertinggi mengenai hal tanah. Dalam menjalankan tugas mereka PBPT perlu memberi perhatian kepada dasar negeri dan negara dan perlu mendapat kelulusan JPN bagi rancangan struktur yang disediakan olehnya. Walaupun PBPT tidak perlu mendapat kelulusan JPN bagi rancangan-rancangan tempatan, JPN boleh mengarah PBPT mengubah, memansuh atau menggantikan rancangan-rancangan tempatan.

PBPT juga perlu sentiasa memberi perhatian kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam surat hakmilik tanah terutamanya apabila mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang. Contohnya, jika kategori hakmilik tanah ialah pertanian, PBPT tidak akan membenarkan pembangunan walaupun rancangan struktur menetapkan bahawa tanah berkenaan boleh dibangunan untuk perumahan atau kegunaan lain yang bertentangan dengan kategori tanah. Pemaju atau pemohon perlu melalui proses tukar syarat (ia itu, ubah kategori kegunaan tanah) dahulu sebelum kebenaran merancang boleh diberi. Di sebaliknya pula, jika PBN telah tukar syarat sesuatu tanah dari pertanian kepada bangunan, PBPT terpaksa anggap ini sebagai penukaran dasar kerajaan negeri yang perlu dipatuhi walaupun tanah tersebut ditunjukkan sebagai kawasan pertanian dalam rancangan struktur yang telah diluluskan oleh JPN.

Isu utama bagi PBPT ialah sejauhmanakah pertimbangan perancangan boleh mengatasi kuasa dan keputusan yang dibuat oleh PBN dibawah undang-undang tanah atau lain. Keadaan ini telah dihadapi oleh kedua-dua pihak berkuasa perancangan tempatan di negeri Pulau Pinang. Dalam kes pertama di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, tanah yang berkenaan ditunjukkan sebagai pertanian dalam Rancangan Struktur Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Permohonan kebenaran merancang untuk membangunkan tanah tersebut telah ditolak oleh MPSP kerana cadangan bertentangan dengan perancangan untuk kawasan ity. Tetapi pemilik tanah/pemaju kemudiannya telah mendapat kelulusan tukar syarat daripada PBN dari pertanian kepada bangunan. MPSP dalam mempertimbangkan permohonan semula kes ini telah menerima keputusan PBN sebagai dasar yang perlu dipatuhi dan seterusnya telah mengambil keputusan untuk membenarkan pembangunan yang dicadangkan tanpa mengubah atau meminda Rancangan Struktur.

Dua kes yang berlaku di kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serupa dengan kes MPSP tetapi tindakan yang diambil oleh MPPP berlainan. Kes-kes ini melibatkan tanah di Paya Terubong yang dahulu digazetkan sebagai tanah bukit di bawah Akta Pemeliharaan 1960. Dalam Rancangan Struktur MPPP tanah yang terlibat juga ditunjukkan sebagai tanah bukit dengan ketetapan bawah pembangunan tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, pemaju berkenaan telah mendapat kelulusan PBN untuk mengeluarkan tanah berkenaan daripada kawasan tanah bukit. Namun begitu, MPPP telah menolak permohonan kebenaran merancang untuk lot-lot tanah tersebut kerana bertentangan dengan Rancangan Struktur MPPP. Lembaga Rayuan dalam kedua-dua kes ini telah berpendapat bahawa tindakan PBN untuk mengeluarkan tanah-tanah tersebut daripada kawasan tanah bermakna PBN telah memberi "arahan" supaya tanah itu tidak lagi terkecuali daripada pembangunan. Lembaga Rayuan seterusnya telah rujukbalik kes-kes tersebut untuk pertimbangan semula oleh MPPP dengan arahan bahawa MPPP tidak boleh lagi mengguna alasan tanah bukit (kerana telah dikeluarkan) untuk menolak pembangunan tetapi MPPP boleh mengenakan syarat-syarat yang munasabah untuk menghapuskan kesan buruk yang mungkin berlaku akibat daripada topografi tanah curam.

Jelas bahawa kuasa PBPT tertakluk kepada kuasa PBN dan JPN. Tindakan PBPT tidak boleh bertindih atau bercanggah dengan keputusan kuasa atasan. Kuasa perancangan di peringkat kerajaan tempatan bagaimanapun boleh mengawal penggunaan tanah untuk mencapai perancangan yang baik. Apakah yang sebenarnya pertimbangan perancangan dibincang dalam bab 4 (kawalan perancangan).

Bagi pemilik tanah dan pemaju, keadaan dualisme pihak berkuasa terhadap penggunaan tanah mungkin mewujudkan keliruan atau ketidakpastian. Misalnya, sejauhmanakah PBN diikat dengan penetapan kegunaan tanah dalam rancangan struktur yang juga dipersetujui olehnya? Isu yang berkaitan ialah sejauhmanakah keputusan yang dibuat dibawah Kanun Tanah Negara 1965 adalah berasaskan suatu kajian perancangan? Perkara-perkara ini juga akan dibincang dengan lebih mendalam dalam bab 4.


Rancangan Pemajuan

Akta PBD 1976 juga menyatakan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh PBPT berkenaan dengan rancangan pemajuan, khususnya :


Kawalan Perancangan

Kuasa PBPT berkenaan dengan kawalan perancangan diberi melalui s. 19(1) Akta PBD 1976 yang menyatakan bahawa semua orang kecuali PBPT mesti mendapat kebenaran merancang. Permohonan untuk kebenaran merancang hendaklah dibuat kepada PBPT (s. 21(1)).


Top

JENTERA PENTADBIRAN PERANCANGAN

Perlu dibezakan di antara Pihak Berkuasa dengan jentera pentadbiran. Selalu diragu-ragukan oleh orang ramai (termasuk pelajar) bahawa misalnya, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar di suatu Kerajaan Tempatan ialah Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. Ini tidak benar. Pengarah Perancangan serta kakitangan-kakitangan lain di sesuatu badan kerajaan hanya pegawai-pegawai yang menjalankan tugas untuk menglaksanakan dasar dan arahan oleh Pihak Berkuasa masing-masing. Namun, pegawai-pegawai kanan mungkin boleh diberi kuasa terhad (delegation of powers) supaya jentera pentadbiran boleh jalan dengan lancar tanpa merujuk segala urusan untuk pertimbangan dan keputusan Pihak Berkuasa. Biasanya, Pihak Berkuasa Tempatan (Yang DiPertua dengan Ahli-Ahli Majlis) akan bermesyuarat hanya sekali dalam masa 2 minggu. Kadangkala, Yang DiPertua bersama beberapa Ahli Majlis juga boleh diberi kuasa untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan hal-hal tertentu seperti permohonan kebenaran merancang atau pelan bangunan. Walaubagaimana pun, keputusan-keputusan yang dibuat di luar perhimpunan Pihak Berkuasa perlu dikemukakan kepada Pihak Berkuasa untuk makluman atau pengesahan.

Perancangan Bandar

Permulaan Perancangan Bandar

1786 - Kapten Francis Light sebaik sahaja mendarat di Penaga (kini George Town) Pulau Pinang telah mengarahkan supaya susunatur jalan disediakan. Penyusunan jalan adalah asas perancangan bandar pada masa itu.

1801 - Jawatankuasa Penilai (Committee of Assessors) telah dilantik untuk George Town. Mereka mempunyai kuasa untuk :

susunatur jalan

membina jalan

menjual petak tanah

merancang sistem peparitan

Ia adalah suatu badan sukarela (tiada kuasa undang-undang) yang menjadi perintis kerajaan tempatan di Malaysia.

1808 & 1813 - kebakaran besar di Georgetown mengakibatkan celah lima puluh kaki setiap 200 kaki bangunan berderet disediakan.

1881 - kebakaran di Kuala Lumpur mengakibat KL dibahagikan kepada 4 zon, mengasingkan perniagaan yang merbahaya dan mudah terbakar. Zon-zon tersebut ialah :

zon perdagangan perniaga besar

zon industri tukang besi and perniagaan bahaya

zon pelacur

zon kedai candu, bengkel dan kedai membuat manisan dan kuih muih (confectionaries)


Undang-Undang Sebelum 1923

Semua undang-undang pada masa itu menumpu kepada masalah kebersihan dan kesihatan. Tiga undang-undang utama pada masa itu yang ada kaitan dengan "perancangan" ialah :

Sanitary Boards Enactment 1907 (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu)

Municipal Ordinance 1913 CAP 133 (Negeri-Negeri Selat)

Town Improvement Enactment 1917 (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu)


CAP 133

Skim Bangunan boleh disediakan oleh pihak berkuasa tempatan mengandungi jalan, lorong belakang dan ruan lapang

Tujuan skim bangunan ialah untuk memperolehi keadaan yang bersih dan kemudahan untuk keselesaan hidup

lorong belakang - untuk pengedaraan udara dan cahaya

ruang lapang (open space) - ruang persendirian (private open space) di dalam bangunan yang kini dikenali sebagai "air well" dalam bangunan-bangunan berderet. Dikehendaki 10% daripada keluasan lantai diasingkan sebagai ruang lapang.

Sanitary Boards Enactment

Memberi kuasa untuk menentu dan mengasingkan perniagaan dan pekerjaan yang bahaya, menjejaskan kesihatan penduduk


Town Improvement Enactment 1917

(Enakmen Pembaikan Bandar)

Kuasa untuk menyediakan 6 jenis skim :

Skim pembaikan umum

Skim pembinaan semula

Skim jalan

Skim lorong belakang

Skim bangunan

Skim pengagihan semula (serupa dengan Land Readjustment)

Kriteria untuk menyediakan skim-skim :

bangunan tidak sesuai untuk penginapan

ancaman kepada kesihatan kerana bangunan dan jalan sempit

kurang cahaya, udara dan kemudahan

Walau pun undang-undang ini mempunyai peruntukkan yang begitu kuat tetapi ia dikatakan tidak berkesan kerana ia hanya bertujuan untuk membaiki keadaan selepas masalah berlaku dan tidak boleh paksa pemilik tanah mematuhinya (ini dakwaan Reade yang tidak benar). Pada 1923, enakmen ini telah dimansuhkan apabila Enakmen Perancangan Bandar 1923 digubalkan.

Undang-Undang Perancangan Pertama 1923

C.C. Reade, Jururancang Kerajaan Persekutuan Malaya yang pertama telah meninjau keadaan di Malaya pada awal 1920an dan mendapati bahawa :

di pusat bandar keadaan agar baik

di pinggir bandar, tanah dipecahsempadan sehingga menjadi terlalu kecil dengan bentuk yang arbitrari

tiada kuasa undang-undang untuk mengawal jabatan-jabatan kerajaan

tiada halangan / had terhadap hak membangunkan tanah sendiri

skim kemajuan tidak boleh paksa pemilik tanah mematuhi rancangan kerajaan tempatan

Ideologi Kepentingan Awam

Memandangkan kepada kepercayaan pihak pentadbir jajahan bahawa hak pemilik tanah tidak terbatas, maka Reade terpaksa memberi justifikasi untuk memperkenalkan aktiviti perancangan bandar yang sedikit sebanyak akan mencerobohi hak pemilik tanah.

Maka, konsep ideologi kepentingan awam (walaupun istilah ini tidak digunakan pada masa itu) telah diperkenalkan. Konsep ini mengakui bahawa hak pemilikan harta benda persendirian akan di cerobohi oleh aktiviti perancangan bandar tetapi ia dipertahankan demi kepentingan seluruh masyarakat. Ia itu, kepentingan masyarakat hendak diutamakan daripada hak individu.

Reade cadangkan bahawa undang-undang perancangan bandar hendak menafikan pampasan sekiranya tanah seorang individu mengalami kecacatan ("injuriously affected") akibat daripada perancangan bandar.

Bacaan Tambahan :

"Ideologi Kepentingan Awam di dalam Undang-Undang Perancangan Bandar" (Public Interest Ideology in Town Planning Legislations). Kanun : Jurnal Undang-Undang Malaysia
(Dewan Bahasa dan Pustaka). [MAC 1991]3 KANUN(1). p 1-11.


Cadangan Untuk Perancangan

Reade telah cadangkan supaya:

digubalkan undang-undang perancangan bandar

diadakan dasar dan pentadbiran bandar yang tetap dan berkesinambungan. Dia cadangkan supaya ditubuhkan Jawatankuasa Perancangan Bandar (sebagai pihak berkuasa perancangan tempatan) dan Ibu Pejabat Perancangan Bandar

Pelan Bandar Am dan skim kemajuan disediakan dahulu sebelum pembangunan untuk kawasan baru dan sediada. Pelan mesti dipatuhi oleh pihak kerajaan dan swasta.


Faedah Perancangan

Di antara faedah-faedah yang dikemukakan oleh Reade untuk menyakinkan pihak pentadbiran jajahan untuk menerima cadangan beliau ialah :

tanah persendirian dirancang dengan percuma oleh kerajaan

dasar yang tetap

tanah dan pelaburan terjamin nilai kerana mengelak pencerobohan kegunaan yang tidak diingini

corak pembangunan diketahui dahulu

boleh pujuk bakal pembeli tanah bahawa tanah boleh dibangunkan

rundingan oleh pemilik dengan pihak berkuasa perancangan tempatan untuk kemudahan


Enakmen Perancangan Bandar 1923

Fokus kepada susunatur untuk memperolehi keselamatan umum, keadaan bersih, kesihatan & kemudahan

Diperuntukkan kuasa untuk (di antara lain) :

menetapkan Kawasan Perancangan Bandar (Town Planning Area). Kawasan ini tidak semestinya sama dengan kawasan Lembaga Sanitari. Ia boleh melibatkan kawasan beberapa Lembaga Sanitari serta kawasan-kawasan di luar bidangkuasa Lembaga Sanitari.

menubuhkan Jawatankuasa Perancangan Bandar (Town Planning Committee). Jawatankuasa ini adalah badan pentadbiran yang baru mengambilalih kuasa perancangan termasuk kuasa untuk menyediakan Pelan Bandar Am (General Town Plan) dan kuasa untuk mengawal pembangunan.

menentukan jenis kegunaan tanah melalui pengzonan (zoning). Kategori kegunaan tanah yang dinyatakan dalam enakmen ialah : kediaman, perdagangan, industri, pertanian dan "lain".

melantik seorang Jururancang Bandar Kerajaan (Government Town Planner) yang akan diberi kuasa untuk menyediakan semua Pelan Bandar Am bagi pihak Jawatankuasa Perancangan Bandar.

membayar pampasan untuk pengzonan, garisan bangunan dan had-had lain.

Jawatankuasa Perancangan Bandar mengawal penduduk serta pihak kerajaan

mengawal pembangunan melalui permohonan untuk kelulusan pelan susunatur.

Enakmen ini adalah pasif. Ia tidak boleh menyusun semula tanah pemilikan persendirian. Bandingkannya dengan Enakmen Pembiakan Bandar 1917 yang memberi kuasa untuk melaksanakan skim kemajuan bandar secara mengambil balik tanah dengan paksa, atau dengan membenarkan pemilik sendiri laksanakan skim itu.

Enakmen Perancangan Bandar 1927

Cadangan untuk aktiviti perancangan bandar tidak diterima oleh dua pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing. Pemilik-pemilik tanah terus mendesak supaya enakmen 1923 dimansuhkan kerana mencerobohi hak harta benda mereka manakala pihak berkuasa tempatan menuntut bahawa kuasa perancangan bandar adalah warisan mereka. Akhirnya, Enakmen 1923 telah dikaji balik dan dipinda pada tahun 1927. Enakmen 1927 telah batalkan banyak kuasa dalam Enakmen 1923 dan mengurangkan peruntukkan lain. Ciri-ciri utama Enakment 1927 ialah :

Lembaga Sanitari kini menjadi Pihak Berkuasa Perancangan Bandar

Isikandungan Pelan Bandar Am dikurangkan kepada jalan utama, zon kegunaan tanah, rezab kerajaan, kawasan lapang dan kawasan rekreasi. Peruntukkan Enakmen 1923 untuk skim kemajuan dan pelan susunatur terperinci dibatalkan.

Kuasa untuk kelulusan pelan susunatur dibatalkan dan digantikan dengan pelan pecahsempadan.

Tanah untuk jalan akan diambilbalik dengan bayaran pampasan. Dalam Enakmen 1923, pemilik tanah dikehendaki bersetuju menyerahkan dengan percuma tanah yang diperlukan untuk jalan.


Enakmen Lembaga Sanitari 1930
(Bahagian IX - Perancangan Bandar)

Pada tahun 1929, rang undang-undang telah dikemukakan untuk menyerapkan Enakmen 1927 ke dalam undang-undang kerajaan tempatan, ia itu sebagai Bahagian IX - Perancangan Bandar dalam Enakmen Lembaga Sanitari (digazetkan pada tahun 1930). Selepas Perang Dunia Kedua, Lembaga Sanitari telah ditukar nama kepada Lembaga Bandaran selaras dengan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu kerana fungsi kerajaan tempatan telah menjadi lebih luas.

Bahagian IX (Perancangan Bandar), Enakmen Lembaga Bandaran BAB 137 adalah undang-undang perancangan bandar di Semananjung Malaysia sehingga penggubalan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Bahagian ini telah diperluaskan penggunaannya di negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Melaka secara berperingkat-peringkat.

Bahagian IX BAB 137 hanya memberi kuasa untuk merancang, tiada kuasa untuk memaksa pematuhan, iaitu tiada kuasa kawalan perancangan.


Top

Undang-Undang Perancangan Bandar Peringkat Kebangsaan

Usaha untuk menggubalkan undang-undang seragam untuk seluruh Semenanjung Malaysia telah mula sejak akhir tahnun 1960an tetapi hanya berjaya pada tahun 1976.


Draf Akta Perancangan Kebangsaan 1972

Objektif undang-undang ini dinyatakan sebagai :

untuk menterjemahkan Rancangan 5-Tahun dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam bentuk perancangan fisikal

mengatasi perancangan ad-hoc oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan

mengambilbalik (restore) hak-hak perlembagaan Kerajaan Persekutuan and Negeri dalam hal perancangan bandar

memperkenalkan penyertaan awam dalam perancangan

meningkatkan dan mempertahankan taraf kehidupan.

4 jenis Pihak Berkuasa Perancangan dicadangkan :

Majlis Perancangan Negara ditubuhkan di peringkat Persekutuan dan dipengerusikan oleh Menteri. Mempunyai kuasa untuk melantik Pegawai Perancangan Negeri dan boleh mengarah Kerajaan Negeri berunding dengan Majlis semasa menyediakan Pelan Pembangunan Negeri.

Pihak Berkuasa Perancangan Negeri. Pengerusi tidak semestinya Ketua Menteri atau Menteri Besar. Ia mengambilalih kuasa perancangan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Badan Perancangan Tempatan asing daripada Pihak Berkuasa Tempatan (serupa dengan Jawatankuasa Perancangan Bandar dalam Enakmen 1923).

Suruhanjaya Perancangan Wilayah.

3 jenis Pelan

Pelan Induk Negera, gabungan rancangan wilayah dan pelan pembangunan negeri

Skim Pembangunan Wilayah

Rancangan Pembangunan (Rancangan Struktur dan Tempatan)

Kawalan Perancangan

semua pembangunan memerlukan kebenaran

pertimbangan matan (other material considerations) dibenarkan

Pampasan

hak menerima pampasan jika kebenaran tidak diberi atau diberi dengan syarat untuk pemajuan baru

tidak akan dibayar jika syarat-syarat ialah :

menghadkan bilangan, pengaturan, rupa, saiz, rekabentuk, bahan-bahan bangunan

susunatur

penggunaan bangunan dan tanah

masuklaluan ke lebuhraya

pemajuan pra-masa (keutamaan pembangunan; bekalan air/bentungan)

mudah banjir

kebenaran pernah diberi dahulu


Penutup

Akhirnya Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 telah berjaya digubalkan tetapi kebanyakan cadangan-cadangan awal telah dibatalkan. Kini, walaupun sudah lebih 20 tahun Akta 1976 diluluskan tetapi Bahagian IX BAB 137 masih mempunyai pengaruh yang kuat.