Thursday, January 1, 2009

Perancangan Bandar

Permulaan Perancangan Bandar

1786 - Kapten Francis Light sebaik sahaja mendarat di Penaga (kini George Town) Pulau Pinang telah mengarahkan supaya susunatur jalan disediakan. Penyusunan jalan adalah asas perancangan bandar pada masa itu.

1801 - Jawatankuasa Penilai (Committee of Assessors) telah dilantik untuk George Town. Mereka mempunyai kuasa untuk :

susunatur jalan

membina jalan

menjual petak tanah

merancang sistem peparitan

Ia adalah suatu badan sukarela (tiada kuasa undang-undang) yang menjadi perintis kerajaan tempatan di Malaysia.

1808 & 1813 - kebakaran besar di Georgetown mengakibatkan celah lima puluh kaki setiap 200 kaki bangunan berderet disediakan.

1881 - kebakaran di Kuala Lumpur mengakibat KL dibahagikan kepada 4 zon, mengasingkan perniagaan yang merbahaya dan mudah terbakar. Zon-zon tersebut ialah :

zon perdagangan perniaga besar

zon industri tukang besi and perniagaan bahaya

zon pelacur

zon kedai candu, bengkel dan kedai membuat manisan dan kuih muih (confectionaries)


Undang-Undang Sebelum 1923

Semua undang-undang pada masa itu menumpu kepada masalah kebersihan dan kesihatan. Tiga undang-undang utama pada masa itu yang ada kaitan dengan "perancangan" ialah :

Sanitary Boards Enactment 1907 (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu)

Municipal Ordinance 1913 CAP 133 (Negeri-Negeri Selat)

Town Improvement Enactment 1917 (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu)


CAP 133

Skim Bangunan boleh disediakan oleh pihak berkuasa tempatan mengandungi jalan, lorong belakang dan ruan lapang

Tujuan skim bangunan ialah untuk memperolehi keadaan yang bersih dan kemudahan untuk keselesaan hidup

lorong belakang - untuk pengedaraan udara dan cahaya

ruang lapang (open space) - ruang persendirian (private open space) di dalam bangunan yang kini dikenali sebagai "air well" dalam bangunan-bangunan berderet. Dikehendaki 10% daripada keluasan lantai diasingkan sebagai ruang lapang.

Sanitary Boards Enactment

Memberi kuasa untuk menentu dan mengasingkan perniagaan dan pekerjaan yang bahaya, menjejaskan kesihatan penduduk


Town Improvement Enactment 1917

(Enakmen Pembaikan Bandar)

Kuasa untuk menyediakan 6 jenis skim :

Skim pembaikan umum

Skim pembinaan semula

Skim jalan

Skim lorong belakang

Skim bangunan

Skim pengagihan semula (serupa dengan Land Readjustment)

Kriteria untuk menyediakan skim-skim :

bangunan tidak sesuai untuk penginapan

ancaman kepada kesihatan kerana bangunan dan jalan sempit

kurang cahaya, udara dan kemudahan

Walau pun undang-undang ini mempunyai peruntukkan yang begitu kuat tetapi ia dikatakan tidak berkesan kerana ia hanya bertujuan untuk membaiki keadaan selepas masalah berlaku dan tidak boleh paksa pemilik tanah mematuhinya (ini dakwaan Reade yang tidak benar). Pada 1923, enakmen ini telah dimansuhkan apabila Enakmen Perancangan Bandar 1923 digubalkan.

Undang-Undang Perancangan Pertama 1923

C.C. Reade, Jururancang Kerajaan Persekutuan Malaya yang pertama telah meninjau keadaan di Malaya pada awal 1920an dan mendapati bahawa :

di pusat bandar keadaan agar baik

di pinggir bandar, tanah dipecahsempadan sehingga menjadi terlalu kecil dengan bentuk yang arbitrari

tiada kuasa undang-undang untuk mengawal jabatan-jabatan kerajaan

tiada halangan / had terhadap hak membangunkan tanah sendiri

skim kemajuan tidak boleh paksa pemilik tanah mematuhi rancangan kerajaan tempatan

Ideologi Kepentingan Awam

Memandangkan kepada kepercayaan pihak pentadbir jajahan bahawa hak pemilik tanah tidak terbatas, maka Reade terpaksa memberi justifikasi untuk memperkenalkan aktiviti perancangan bandar yang sedikit sebanyak akan mencerobohi hak pemilik tanah.

Maka, konsep ideologi kepentingan awam (walaupun istilah ini tidak digunakan pada masa itu) telah diperkenalkan. Konsep ini mengakui bahawa hak pemilikan harta benda persendirian akan di cerobohi oleh aktiviti perancangan bandar tetapi ia dipertahankan demi kepentingan seluruh masyarakat. Ia itu, kepentingan masyarakat hendak diutamakan daripada hak individu.

Reade cadangkan bahawa undang-undang perancangan bandar hendak menafikan pampasan sekiranya tanah seorang individu mengalami kecacatan ("injuriously affected") akibat daripada perancangan bandar.

Bacaan Tambahan :

"Ideologi Kepentingan Awam di dalam Undang-Undang Perancangan Bandar" (Public Interest Ideology in Town Planning Legislations). Kanun : Jurnal Undang-Undang Malaysia
(Dewan Bahasa dan Pustaka). [MAC 1991]3 KANUN(1). p 1-11.


Cadangan Untuk Perancangan

Reade telah cadangkan supaya:

digubalkan undang-undang perancangan bandar

diadakan dasar dan pentadbiran bandar yang tetap dan berkesinambungan. Dia cadangkan supaya ditubuhkan Jawatankuasa Perancangan Bandar (sebagai pihak berkuasa perancangan tempatan) dan Ibu Pejabat Perancangan Bandar

Pelan Bandar Am dan skim kemajuan disediakan dahulu sebelum pembangunan untuk kawasan baru dan sediada. Pelan mesti dipatuhi oleh pihak kerajaan dan swasta.


Faedah Perancangan

Di antara faedah-faedah yang dikemukakan oleh Reade untuk menyakinkan pihak pentadbiran jajahan untuk menerima cadangan beliau ialah :

tanah persendirian dirancang dengan percuma oleh kerajaan

dasar yang tetap

tanah dan pelaburan terjamin nilai kerana mengelak pencerobohan kegunaan yang tidak diingini

corak pembangunan diketahui dahulu

boleh pujuk bakal pembeli tanah bahawa tanah boleh dibangunkan

rundingan oleh pemilik dengan pihak berkuasa perancangan tempatan untuk kemudahan


Enakmen Perancangan Bandar 1923

Fokus kepada susunatur untuk memperolehi keselamatan umum, keadaan bersih, kesihatan & kemudahan

Diperuntukkan kuasa untuk (di antara lain) :

menetapkan Kawasan Perancangan Bandar (Town Planning Area). Kawasan ini tidak semestinya sama dengan kawasan Lembaga Sanitari. Ia boleh melibatkan kawasan beberapa Lembaga Sanitari serta kawasan-kawasan di luar bidangkuasa Lembaga Sanitari.

menubuhkan Jawatankuasa Perancangan Bandar (Town Planning Committee). Jawatankuasa ini adalah badan pentadbiran yang baru mengambilalih kuasa perancangan termasuk kuasa untuk menyediakan Pelan Bandar Am (General Town Plan) dan kuasa untuk mengawal pembangunan.

menentukan jenis kegunaan tanah melalui pengzonan (zoning). Kategori kegunaan tanah yang dinyatakan dalam enakmen ialah : kediaman, perdagangan, industri, pertanian dan "lain".

melantik seorang Jururancang Bandar Kerajaan (Government Town Planner) yang akan diberi kuasa untuk menyediakan semua Pelan Bandar Am bagi pihak Jawatankuasa Perancangan Bandar.

membayar pampasan untuk pengzonan, garisan bangunan dan had-had lain.

Jawatankuasa Perancangan Bandar mengawal penduduk serta pihak kerajaan

mengawal pembangunan melalui permohonan untuk kelulusan pelan susunatur.

Enakmen ini adalah pasif. Ia tidak boleh menyusun semula tanah pemilikan persendirian. Bandingkannya dengan Enakmen Pembiakan Bandar 1917 yang memberi kuasa untuk melaksanakan skim kemajuan bandar secara mengambil balik tanah dengan paksa, atau dengan membenarkan pemilik sendiri laksanakan skim itu.

Enakmen Perancangan Bandar 1927

Cadangan untuk aktiviti perancangan bandar tidak diterima oleh dua pihak yang mempunyai kepentingan masing-masing. Pemilik-pemilik tanah terus mendesak supaya enakmen 1923 dimansuhkan kerana mencerobohi hak harta benda mereka manakala pihak berkuasa tempatan menuntut bahawa kuasa perancangan bandar adalah warisan mereka. Akhirnya, Enakmen 1923 telah dikaji balik dan dipinda pada tahun 1927. Enakmen 1927 telah batalkan banyak kuasa dalam Enakmen 1923 dan mengurangkan peruntukkan lain. Ciri-ciri utama Enakment 1927 ialah :

Lembaga Sanitari kini menjadi Pihak Berkuasa Perancangan Bandar

Isikandungan Pelan Bandar Am dikurangkan kepada jalan utama, zon kegunaan tanah, rezab kerajaan, kawasan lapang dan kawasan rekreasi. Peruntukkan Enakmen 1923 untuk skim kemajuan dan pelan susunatur terperinci dibatalkan.

Kuasa untuk kelulusan pelan susunatur dibatalkan dan digantikan dengan pelan pecahsempadan.

Tanah untuk jalan akan diambilbalik dengan bayaran pampasan. Dalam Enakmen 1923, pemilik tanah dikehendaki bersetuju menyerahkan dengan percuma tanah yang diperlukan untuk jalan.


Enakmen Lembaga Sanitari 1930
(Bahagian IX - Perancangan Bandar)

Pada tahun 1929, rang undang-undang telah dikemukakan untuk menyerapkan Enakmen 1927 ke dalam undang-undang kerajaan tempatan, ia itu sebagai Bahagian IX - Perancangan Bandar dalam Enakmen Lembaga Sanitari (digazetkan pada tahun 1930). Selepas Perang Dunia Kedua, Lembaga Sanitari telah ditukar nama kepada Lembaga Bandaran selaras dengan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu kerana fungsi kerajaan tempatan telah menjadi lebih luas.

Bahagian IX (Perancangan Bandar), Enakmen Lembaga Bandaran BAB 137 adalah undang-undang perancangan bandar di Semananjung Malaysia sehingga penggubalan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Bahagian ini telah diperluaskan penggunaannya di negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Melaka secara berperingkat-peringkat.

Bahagian IX BAB 137 hanya memberi kuasa untuk merancang, tiada kuasa untuk memaksa pematuhan, iaitu tiada kuasa kawalan perancangan.


Top

Undang-Undang Perancangan Bandar Peringkat Kebangsaan

Usaha untuk menggubalkan undang-undang seragam untuk seluruh Semenanjung Malaysia telah mula sejak akhir tahnun 1960an tetapi hanya berjaya pada tahun 1976.


Draf Akta Perancangan Kebangsaan 1972

Objektif undang-undang ini dinyatakan sebagai :

untuk menterjemahkan Rancangan 5-Tahun dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam bentuk perancangan fisikal

mengatasi perancangan ad-hoc oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan

mengambilbalik (restore) hak-hak perlembagaan Kerajaan Persekutuan and Negeri dalam hal perancangan bandar

memperkenalkan penyertaan awam dalam perancangan

meningkatkan dan mempertahankan taraf kehidupan.

4 jenis Pihak Berkuasa Perancangan dicadangkan :

Majlis Perancangan Negara ditubuhkan di peringkat Persekutuan dan dipengerusikan oleh Menteri. Mempunyai kuasa untuk melantik Pegawai Perancangan Negeri dan boleh mengarah Kerajaan Negeri berunding dengan Majlis semasa menyediakan Pelan Pembangunan Negeri.

Pihak Berkuasa Perancangan Negeri. Pengerusi tidak semestinya Ketua Menteri atau Menteri Besar. Ia mengambilalih kuasa perancangan daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Badan Perancangan Tempatan asing daripada Pihak Berkuasa Tempatan (serupa dengan Jawatankuasa Perancangan Bandar dalam Enakmen 1923).

Suruhanjaya Perancangan Wilayah.

3 jenis Pelan

Pelan Induk Negera, gabungan rancangan wilayah dan pelan pembangunan negeri

Skim Pembangunan Wilayah

Rancangan Pembangunan (Rancangan Struktur dan Tempatan)

Kawalan Perancangan

semua pembangunan memerlukan kebenaran

pertimbangan matan (other material considerations) dibenarkan

Pampasan

hak menerima pampasan jika kebenaran tidak diberi atau diberi dengan syarat untuk pemajuan baru

tidak akan dibayar jika syarat-syarat ialah :

menghadkan bilangan, pengaturan, rupa, saiz, rekabentuk, bahan-bahan bangunan

susunatur

penggunaan bangunan dan tanah

masuklaluan ke lebuhraya

pemajuan pra-masa (keutamaan pembangunan; bekalan air/bentungan)

mudah banjir

kebenaran pernah diberi dahulu


Penutup

Akhirnya Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 telah berjaya digubalkan tetapi kebanyakan cadangan-cadangan awal telah dibatalkan. Kini, walaupun sudah lebih 20 tahun Akta 1976 diluluskan tetapi Bahagian IX BAB 137 masih mempunyai pengaruh yang kuat.

No comments: